Teringat aku masa cikgu ajar subjek Bahasa Melayu Kertas 2 dulu tahun 1999-2000. Masa tu format kertas 2 Bahasa Melayu ada karangan. Kalau dapat soalan jenis, pernyataan atau pendapat atau perbincangan atau rumusan, cikgu sarankan guna perkataan yang luar dari kebiasaan atau generasi kami panggil dulu 'ayat bombastik' la hehe.
Contoh, dalam permulaan sesuatu ayat biasa kita letak "Baru-baru ini ...", kita gantikan dengan perkataan "Mutakhir ini ...". Maksud yang sama tapi bila dibaca ia jadi satu karangan yang wow la sebab penggunaan perkataan yang luar dari kebiasaan.
Lagi apa? Contoh, "membina ekonomi yang kuat..", digantikan dengan "membina ekonomi yang mampan ..." Kalau pengawas baca karangan kita macam tu kan sedap dia menanda nak bagi markah hehe. Masa awal tahun 2000, perkataan-perkataan begini sangat baru bagi kami dan perlu berlatih banyak untuk hafal dan ingat maksudnya.
Bila anak pulak jadi calon SPM, aku terapkan benda yang sama. Gunakan perkataan yang luar dari kebiasaan tapi maksudnya relevan dan sama dengan perkataan biasa yang kita guna. Barulah pengawas yang menanda kertas kita tu tahu bahawa calon ni memang berpengetahuan luas tentang penggunaan Bahasa Melayu dan rajin membaca.
Aku selalu cakap pada anak-anak, bila kita di tingkatan tertinggi maka penggunaan bahasa kita juga mesti menunjukkan peningkatan dan tidak boleh sama seperti karangan di tingkatan satu sehingga empat. Tapi macam aku cakap tadi, dah tentulah kena rajin membaca dan buat latihan sebanyak mungkin.
No comments:
Post a Comment