Breaking

Showing posts with label Cat Diary. Show all posts
Showing posts with label Cat Diary. Show all posts

Tuesday, December 17, 2024

Tuesday, December 17, 2024

Vaksin Lengkap Untuk Anak-Anak Dakbu

 

Akhirnyaaa lengkap sudah vaksin untuk ketiga-tiga ketul budak comel ni. Lega banyak! Lepas ni boleh fokus pada nak mandulkan diaorang pulak. Itu semua tahun depan punya cerita. Tengok jugak pada keberadaan bajet. Yang penting diaorang punya vaksin tiga kali tu dah setel.


Satu benda yang pencinta kucing perlu tahu ialah vaksin kucing sangat penting tau. Lepas vaksin, mandul. Memang mula-mula belanja dia agak besar jugak. Tapi, kucing jarang sakit dan risiko berjangkit bila terdedah dengan kucing luar tu dapat dikurangkan. Jadi, tolonglah lakukan dua perkara ini sekiranya bela kucing indoor.



Aku sempat tanya pada vet tu, kenapa ada yang bulu panjang ada yang bulu pendek. Vet tu bagitau, yang belang tu jenis Tabby. Yang hitam tu jenis Tuksedo dan kelabu tu ...ala lupa dah! Tapi baka blue-eye jugak la walaupun mata dia tak biru.


Kenapa macam tu? Vet tu bagitau sebab walaupun mak ayah diaorang bulu pendek dan biasa-biasa je, mungkin nenek atau atok diaorang memiliki ciri-ciri bulu panjang. Kiranya diaorang ni 'mengikut' la hahaha. Oohhh baruku tahu.


Dua-dua jantan

Satu-satunya 'bunga'

Jenuh nak mikirkan nama ape nak letak kat diaorang ni. Last-last aku bubuh je nama yang terlintas di fikiran. Suh anak-anak bagi nama .... lambat sangat bagi jawapan!






Wednesday, June 19, 2024

Wednesday, June 19, 2024

Vaksin Dakbu & Abel Di Klinik Baru


Dari Putam sampai Bennie, aku bawa pergi klinik vet berdekatan dengan rumah je untuk prosedur vaksin dan mandul. Tapi kali ni, aku nak try bawak Dakbu & Abelisha ke klinik vet baru. Baru tak baru la, dah lama dah establish klinik ni tapi aku baru tahu ada berdekatan dengan rumah hehe.


Ada 2 cawangan yang dekat, satu di Ampang Avenue dan satu lagi di Sri Rampai. Aku pun bawakla dua ketul ni pergi kat cawangan Sri Rampai sebab kata orang sana senang nak parking. Jarak dari rumah pun tak jauh sangat cuma 6.5km gitu.




Alhamdulillah parking memang senang, walaupun masa sampai sana dalam pukul 11 lebih. Masuk ke dalam klinik, terus ke kaunter untuk pendaftaran kali pertama. Ramai juga pelanggan yang sedang menunggu giliran masa ni.




                                   Abelisha                                            Dakbu


Aku amik Abel bulan 10 tahun lepas, so umur dia sepatutnya dah 9 bulan. Dakbu pulak baru beranak 3 bulan lepas, tak sempat nak mandulkan dia dah bunting dikerjakan si Bennie hehe.


Alhamdulillah masa menunggu pun tak la lama sangat. Kedua-dua ketul budak ni selamat divaksinkan. Appoinment seterusnya bulan depan pulak, bagi mencukupkan 3 kali vaksin. Lepas tu vaksin setahun sekali je. Ingat nak set tarikh untuk mandulkan diaorang, tapi tarikh yang available hanya bermula pertengahan bulan Ogos nanti. Yang sebelumnya dah fully booked!


Ye la, klinik dr hawa ni terkenal dengan pakej vaksin dan mandul yang murah dan berpatutan berbanding dengan tempat lain. Even, klinik vet yang aku selalu pergi tu jauh lagi mahal dan kalau ada kenaikan barang atau petrol ke dia pun nak naik harga jugak haha.


Takpela, so kita pergi sini je la nanti untuk vaksin dan mandul. Servis pun ok sangat setanding dengan klinik vet lain yang mahal.

Tuesday, May 28, 2024

Tuesday, May 28, 2024

Abel Hilang!

 

Sabtu malam 25hb aku balik kampung jap. Gerak dari umah kul 12tgh malam. Sebelum keluar umah dah cek segala benda dan suis yang perlu ditutup. Hari Ahad petang 26hb balik KL balik, kiranya tak sampai 24 jam pun.


Sampai di umah dalam jam 7.15pm. Bawa naik segala barang dalam kete ke umah. Aku sedar dalam umah takda bau busuk (Abel je yang berak merata) tapi tak syak apa2 lagi. Dalam hati berkata, mungkin Abel dah jadi cerdik boleh berak dalam jamban macam yang lain.


Sekali mata terpandang tingkap yang terbuka luas! Assudoh!!! Naluri kuat mengatakan Abel dah lompat keluar ikut tingkap. Tapi aku cari dulu dalam umah, kot dia masih ada. Takda! Ya Allah ...Abel hilang!


Satu malam tu kami cari merata sekitar blok. Tiga2 blok aku masuk dan tanya pada orang kalau ada terjumpa. Pergi belakang blok cari panggil nama dia tak senyap sunyi. Dengan selsemanya, dengan pening kepala aku tahan jugak sebab Abel.


Cik suami cari sampai jam 3am! Tetap takda rezeki jumpa Abel ....



Dah la esoknya 27hb kami kena keje. Dengan rasa berat hati, terpaksa juga pergi keje. Punyala tak seronok rasa masa tu. Jasad kat opis tapi fikiran dah melayang kat umah nak mencari Abel. Makan pun tak lalu!


Cik suami balik dari keje pun sambung mencari Abel. Dah la petang semalam hujan lebat. Ya Allah, entah makan apa la si Abel tu. Mesti dia takut, mesti dia tengah basah dalam hujan. Anak-anak dah mencari dari pagi sampai petang. Dalam hati nekad balik ni kang, aku nak sambung misi mencari. Biarlah kukorbankan tidur malamku janji Abel mesti dijumpai!


On the way balik, aku terima panggilan dari cik suami. Dia kata Abel dah dijumpai! Alhamdulilahhhhhhhhhhhh ....! Kat mana? Rupanya dia masuk kebun orang menyorok disitu. Kebetulan cik suami tengok ada kucing jantan kaler oren dok nunggu depan pagar kebun. Cik suami syak mungkin ada Abel dalam tu.


Abel ni penakut dengan orang dan kucing lain. Dia akan cari tempat sunyi untuk menyorokkkan diri ....macam dalam kebun tu lah. Padahal aku dah suluh dah kebun tu malam semalam dan panggil nama dia tapi takda kelibatnya. Ya Allah ....rasa macam batu besar kat kepala ni hilang terus! Sepanjang jalan aku subhanallah alhamdulillah allahuakbar.



Sampai di umah, aku terus amik dan peluk cium Abel. Please Abelisha, don't ever do this again ok. Walaupun kau jenis berat kencing merata (sebab dia takut dengan Dakbu yg suka kacau dia) tapi mama tetap sayang Abel.


Huh....sangat tak best perasaan bila kehilangan kucing.

Friday, May 24, 2024

Friday, May 24, 2024

Aku Dapat Cucu ...Lagi!

 

Bila aku cakap dia yang last, betul aku tak tipu! Sejak tu takde dah aku amik kucing dari luar. Macam mana kesian pun kukeringkan hati! Tapi yang baru ni datang dari dalam rumah hahaha.


Tahap ni aku tak tahu nak kata apa dah! haha. Bersyukur dan redho je lah. Benda tereksiden kan haha. Bulan Mac lalu, lahirlah cucu-cucuku sebanyak 5 ekor. Tapi yang sempat hidup hanya 3 ekor.


Ibunya (Dakbu) tak sempatku mandulkan, rupanya dah bunting dek perbuatan si Bennie! Lepas aku dapat tahu Bennie mengandungkan Dakbu, aku terus bawa dia pergi vet kasi 'sunat' haha.




Dia menggatal time kewangan aku tak stabil (tengah bulan). Lepas dua bulan keluarlah 5 ekor budak yang comel-comel. Walaupun Dakbu baru jadi ibu kali pertama, tapi cara dia jaga anak-anak dia sangatlah aku respek. 

Dakbu sangat berhati-hati dan tak pernah meninggalkan anak-anak dia sejak lahir. Kami terpaksa letakkan makanan dan air dekat dengan dia supaya dia tak perlu bangun dan berjalan jauh untuk pergi makan. Setianya dia disisi anak-anak.

Yang lagi dua ekor tu mati pun sebab Dakbu gonggong anak dia pergi bawah meja. Habis berdarah mulut anak tu sebab Dakbu tak pandai lagi gonggong.



Tinggalah 3 ekor ni je sampai sekarang. Membesar dengan sihat. Dikelilingi dan disayangi oleh 'pakcik-pakcik' dan 'makcik-makcik' dalam rumah hahahaha. Beruntung sungguh diaorang ni, mak pak tinggal sekali hahahaha.


Bennie dah selamat aku 'sunat'kan. Kalau si Dabkbu ni nak menggatal sekalipun tiada jantan dalam rumah ni yang akan dapat membuntingkan dia lagi pasni hahahaha. Aku sunatkan Bennie sebab kos dia lebih rendah berbanding sunat betina. Betina kalau nak menggatal pun, dia berbunyi je. Tapi kalau jantan menggatal, habis satu blok dengar suara dia manggil betina lain hahaha.


Sunday, May 19, 2024

Sunday, May 19, 2024

Milla Dalam Ingatan

 

Aku masih ingat saat aku adopt Milla dan adiknya Millie dari grup di facebook pada tahun 2021. Kali pertama aku tengok gambar yang dipos oleh tuan lama mereka, terus aku jatuh hati! Tak tunggu lama, aku terus pm dan akhirnya kedua-duanya diserahkan kepadaku untuk dijaga.


Setahun pertama, Milla dan Millie yang asalnya anak kucing yang baru berusia beberapa bulan membesar dengan sihat dan aktif. Merekalah penyeri dalam rumah selain Putam dan Mia. Kedua-duanya aku vaksin dan mandulkan bila dah cukup umur.



Tapi tahun 2023, aku diuji apabila Milla disahkan mengidap sejenis penyakit yang hingga kini tiada ubatnya. Aku mula takut tapi tetap positif dan berusaha untuk merawat Milla ketika itu. Sanggup aku beli booster yang harganya mencecah ratusan ringgit walaupun ianya hanya untuk meningkatkan imun badan dan bukan merawat sepenuhnya.


Namun, penyakit Milla datang semula lepas 2 bulan dan kali ini memberi kesan sehingga dia tidak lagi makan dan minum secara normal hanya terbaring dan terpaksa dipakaikan pampers kucing.


Aku bawa dia ke vet sekali lagi dan doktor cuba untuk masukkan air ke dalam badannya kerana Milla mengalami dehidrasi yang agak teruk. Badannya juga susut mendadak. Tanda-tanda lain, kulit dan matanya berwarna kuning.



25/12/2023

26/12/2023 - Milla dah tiada


Dan malam itu juga, Milla akhirnya pergi meninggalkan kami buat selama-lamanya pada 26/12/2023. Aku dan adik sempat melihat saat-saat akhir Milla sebelum nafasnya berhenti sebab masa tu aku sedang nak bagi ubat. Kakak pula tak sanggup tengok 😭




Kini setelah beberapa bulan baru aku bersedia untuk berkongsi berita sedih ini. Maafkan kami kerana tak cukup sempurna menjagamu. Moga Milla tenang disana....


Monday, February 19, 2024

Monday, February 19, 2024

Betul ..Ini Last!

 

Haihh aku ni memang ada sejenis penyakit. Penyakit tak boleh tengok anak kucing jalanan yang keseorangan. Mudah kesian, mudah sedih mudah sebak tengok anak kucing ni. Aku dah banyak kali cakap, ini last takmo amik kucing lagi dah.


Tapi siapala aku nak menidakkan rezeki dari Allah taala kan. Dalam ramai-ramai, dia pandang aku...nak wat cemana hehe. Yang ni aku jumpa berjalan sengsorang bawah kete pas maghrib. Aku dan suami baru balik dari kedai masa tu. Ternampak dia sedang mengiau dan berjalan ke arah kami. Aku pandang terus jatuh chenta! Tapi masa tu takda niat pun nak bawak balik.


Aku suh anak aku turun bawak makanan kucing skit. Sambil tunggu kot-kot mak kucing tu ada kat situ sedang cari anaknya. Sumpah, aku tak pernah jumpa anak kucing ni sebelum ni kat kawasan situ. Barangkali dia dibuang atau dia ditinggalkan maknya. 




Seronok tengok dia makan dengan lahapnye. Barangkali lapar dari siang mencari makan tak berjumpa. Aku ni mulalah datang kesian, datang sedih lebih-lebih lagi umur dia baru sebulan (tengokkan badannya yang kecil). Sah la mak dia takda dan dia keseekoran disitu.

Aku pon buat muka kesian kat suami aku hahaha. Suami aku tau dah signal aku bagi tu, tapi dia cakap kat umah banyak dah. Hati aku ni mana peduli tu semua haha. Lagi serba salah kalau aku tinggalkan dia kat situ malam tu dengan hujan renyainya. Mesti dia sejuk nanti....!

Dipendekkan cerita, dia berjaya memikat hatiku dan mengajakku membawanya pulang haha. 




Esoknya aku terus mandikan dia wangi-wangi haha. Dah masuk 4 bulan Abel duduk ngan kami. So, aku anggap umur dia sekitar 5 bulan macam tu. Nama aku la yang bagi, Abelisha. Nama manja Abel hahaha.


Bawak balik kampung mengadap mak, mengucap panjang mak haha. Kat umah dah 8 sekarang campur sekor lagi. Ok mak, kali ni anim janji last!!!!

:p


Thursday, February 08, 2024

Thursday, February 08, 2024

Spray Kutu Kucing

 

Masalah kutu takkan pernah hilang walaupun kucing kita indoor. Walaupun dimandikan setiap 3 bulan atau 6 bulan. Walaupun jarang keluar dan pijak tanah. Kutu besar senang la nak cari, tapi kutu halus yang melekat di bulu tu menyakitkan mata, betul tak wahai bibik sekelian? :p


So sebagai bibik yang prihatin dan sayang sangat dengan majikan-majikan dalam rumah ni, aku usahakan untuk beli spray kutu kucing yang mudah dan selamat digunakan. 




Penggunaannya senang je. Untuk tiga hari pertama, spray setiap hari pada badan kucing. Kemudian ratakan ke seluruh badan. Buat sekali sehari selama tiga hari berturut-turut. Kemudian, boleh spray sebulan sekali mengikut keperluan.

Spray ni tak mengandungi bahan yang membahayakan. Lepas spray kalau majikan kita jilat bulu pun, dia takkan ada kesan sampingan. Mula-mula aku risau juga, tapi lepas beberapa kali pemerhatian ternyata orang tu tak menipu la. Memang selamat untuk majikan kita!

Lagi satu, spray ni aku sembur atas cadar, sofa atau permukaan fabrik. Dia boleh menghapuskan hama dan serangga kecil juga. 



Begitulah muka si dobot aku. Muka cengey tak boleh bawak bincang. Kalau disuruh jadi model mulala buat muka ketat dia. Tapi apa boleh buat, sayang punya pasal kan hahaha.


Kalau masih blur tak tahu nak spray macam mana, boleh refer video aku di bawah. Semoga majikan-majikan kita sentiasa sihat, gebu dan bebas kutu selamanya! Yihhhhhhhhh .....!



Thursday, October 05, 2023

Thursday, October 05, 2023

Kisah Dakbu

 


Aku dah takmo takmo takmo takmo amik kucing stray lagi dah. Yang ada dalam umah ni pun dah tujuh ekor campur empat orang manusia memang dah tak banyak ruang dalam umah yang tak berapa nak luas ni haha. Tapi mulut je kata takmo, bila jumpa sekor kang mula la hati ni kesian sedih tak sampai hati nak tinggalkan dia situ.


Kadang-kadang aku malas nak pergi makan kat tempat-tempat yang banyak kucing stray berkumpul sebab orang suka buang kat situ. Pastu dia datang kat meja orang mintak makan dengan muka yang sedih. Itupun bukan semua manusia nak layan. Kalau dapat yang prihatin ada timbangrasa dapatlah si miau tu isi perut sikit.


Kalau dapat yang hati batu, memang dia buat bodoh je. Aku tak boleh...!



Budak ni aku bukan jumpa kat pasar atau mana-mana warung makan, tapi dia yang jumpa kitaorang. Alkisahnya, hati ketiga raya aku baru balik dari keje malam. Naik tangga nampak dia dok mengiau depan pintu umah orang. Time cuti raya blok tu mana ada orang sangat, semua pakat balik kampung dah. Aku pun gatal pi panggil dia haha terus dia meluru turun tangga sana dan naik ke tangga umah kami.


Punya manja la sekor ni. Tak nampak adik beradik atau mak dia. Tak pernah nampak dia sebelum ni kat sini, memang sah la orang buang. Kesian sungguh la aku pun... dok mengiau mintak manja mintak makan. Aku pandang cik suami, cik suami pandang aku balik. Macam orang sedang berkata-kata tapi takda sora haha. 


Bincang punya bincang, cik suami pon dah macam aku tak sampai hati biarkan dia sorang-sorang kat luar. Maka, kami pun buat keputusan amik ke kecik ni bawak masuk umah. Tu la dia .... hati mudah rapuh mudah kesian kalau main ngan anak kucing ni.



Macam biasala bila ada 'orang' baru, yang lain mula la nak hiss hiss marah kat budak kecik ni. KECUALI .....Dino. Dia memang 'suka' budak kecik haha. Dia buli habis budak ni buat main-main sampai naik lemas kawan tu. Yang lain amik masa gak seminggu nak kawan ngan dia. 

Sekarang 'majikan' aku ada 8 hahahaha. 


Saturday, March 04, 2023

Saturday, March 04, 2023

Seekor Je Kena Vaksin

 

Asalnya temujanji untuk Dino dan Mochi bulan ni terima vaksin tahunan seperti yang telah dijadualkan dalam buku kesihatan. Sebagai 'bibik' terhormat, aku kena sentiasa alert dengan tarikh-tarikh temujanji vaksin untuk ketujuh-tujuh 'majikan' di rumah. Terutama sekali bila ambik anak kucing baru, wajib bawak pergi vaksin untuk tiga bulan pertama.


Kalau terlepas tarikh tiga bulan ni, memang 'hangus' jadual lengkap vaksin pastu kena ulang balik vaksin pertama. Dengan duit-duit sekali hangus weh! So, jangan buat pasal. Bila tiba tarikh vaksin tahunan pastikan kita bawak majikan kita ikut tarikh. Kalau terlepas 1 atau 2 hari tu takpela. Asalkan jangan lepas dari 6 bulan dari tarikh akhir vaksin.


Tapi lain yang dirancang, lain jadinya. Mochi dan Dino sepatutnya kena vaksin serentak, tapi hari tu hanya Dino yang terima vaksin. Sebelum vet cucuk vaksin, diaorang akan cek mata, telinga, gigi, gusi dan montot kucing. Dino lulus ujian tu, tapi Mochi terkandas!




Cek punya cek, Mochi ada masalah kesihatan rupanya. Nanti aku ceritakan lain hari ye. Dipendekkan cerita, Mochi kena datang balik nanti lepas betul-betul sihat. Dia takde tunjuk apa-apa simptom pun. Makan minum semua ok, takda masalah. Aktif main macam biasa. Jadi aku tak nampak apa masalah dia masa tu.

Ternyata, bila vet tunjuk sendiri baru aku perasan. Ye la, majikan ramai sangat kan. Mochi pulak sejenis introvert hehe. Tapi Mochi la yang paling senang manja. Kita usap je badan dia, sekejap je dia dah manja purr purr.

So, nanti kena datang bawak Mochi balik ke vet semula untuk vaksin. Cepat sihat ya Mochiku!

Tuesday, February 07, 2023

Tuesday, February 07, 2023

Lepas Vaksin Nak Buat Apa?

 

Sabtu lepas bawak Bennie pergi vet untuk temujanji vaksin kali ketiga. Alhamdulillah dah setel dah pun. Tahap kesihatan dia pun memuaskan setakat ini. Berat badan pun dah naik sikit. 


Umur Bennie dah nak masuk 6 bulan, jadi dia sekarang berada dalam fasa pra-miang haha. Nak kata dia cari betina tak jugak, cuma ada masa dia suka 'kacau' kucing betina dalam umah tu. Tapi bukan untuk ajak mengawan, cuma usik-usik manja.



Bila dah lengkap 3 kali vaksin, langkah seterusnya adalah mandulkan dia. Satu yang aku perasan, anak-anak bulus aku ni sebelum mandul bukan main manja lagi. Bila dah mandul, dia payah nak manja dah. Manja dia datang bila time dia lapar je haha.


Bennie memang manja ngan aku. Dia je la yang aku harapkan datang bergesel dan tido sebelah. Kadang-kadang dia la yang datang dekat kat muka pastu mengiau kejutkan kita. Aku takut nanti bila dah mandul, dia takmo datang dekat. Tengok je la Putam dan Dino, lepas mandul taknak tido ngan kita dah. Manja pun bila diaorang lapar atau nak keluar main kat luar je.



Bahagia rasanya bila anak bulus datang dekat bermanja ngan kita. Dia bergesel dengan bunyi purr purr dia, pastu landing sebelah. Boleh 'cair' dibuatnya! Dia tahu kita sayang kat dia. Hmm...mama serba salah sekarang. Mama bahagia tengok Bennie punya manja, kalau boleh lepas mandul nanti Bennie kekal manja ngan mama.


Monday, December 26, 2022

Monday, December 26, 2022

12 Tips Bagi Yang Nak Bela Kucing

 

Memelihara haiwan peliharaan tak kiralah haiwan apapun memerlukan perhatian dan komitmen yang baik serta konsisten. Maksudnya, kita kena sentiasa komited tentang kebajikan haiwan yang kita nak bela tu. Sebab apa? sebab persekitaran kita tak sama dengan habitat asal haiwan tu. Contoh, kalau bela burung biasanya orang kurung dalam sangkar dan gantung kat luar rumah. Sedangkan burung adalah haiwan yang sepatutnya terbang bebas. 


Sebab itu, bagi aku nak bela haiwan kena tengok pada kesesuaiannya. Kalau tak, nanti jadi kesian kat dia. Disebabkan hobi kita suka nak bela haiwan tu tapi akhirnya dia 'terseksa' sebab takda kebebasan.


So kali ni, aku nak kongsi tips bela kucing ikut pengalaman aku. Dulu masa aku sekolah rendah pernah bela kucing juga. Tapi pengalaman masa tu sangat cetek tapi takda la sampai mengabaikan. Cuma ilmu tentang pemeliharaan yang baik tu kurang dulu.




Anak-anak Minta Nak Bela Kucing


Kebiasaannya, yang nak mintak bela kucing ni adalah anak-anak. Macam aku dulu, aku yang mintak nak bela kucing sebab memang suka dan sayang kucing kat tepi jalan tu. Masa tu aku baru darjah 5. 'Biskut' kucing stenbai dalam plastik kalau-kalau ada nampak di tepi jalan atau longkang atau bawah kereta. Sebelum ada kucing, aku bagi ikan bilis je hehe. 


Sekarang ni, anak-anak aku pulak yang mintak nak bela kucing. Selain sayang, katanya takda la kakak adik asyik tengok phone je. Bila ada kucing boleh main ngan diaorang. Rupanya aku kena 'game'! hahaha. 


Takde maknenyeeeee ..... :p


Lama gak aku tangguh hasrat diaorang tu. Bukan sebab aku dah takda hati nak bela kucing, tapi aku kena terangkan kat diaorang kasi clear tentang tanggungjawab bela kucing di rumah ni. BESAR DAN BERAT tanggungjawab, takut tak terpikul nanti. Jangan sampai jadi kes buang kucing kat pasar, kat depan kedai tu dah la. Kesian tau dak.


Aku dah merasa kesedihan kematian kucing peliharaan, jadi aku tak nak perasaan itu hadir semula dan kalau boleh aku tak nak diaorang menangis macam aku. Tapi kalau dah sayang, sekali dah bela memang tak boleh lari dari perasaan tu kan.


Tips Bagi Yang Berjinak Nak Bela Kucing


1. Rumah Kediaman

  • Penting sangat bab ni, walau nampak dimata macam remeh je kan. Tapi saiz dan jenis kediaman kita juga mempengaruhi kebajikan anak-anak bulus untuk jangka masa panjang. Kalau rumah jenis apartmen sebaiknya bawah 10 ekor (atau 8 ekor kebawah) . Tapi sekarang ramai juga yang menyediakan bilik khas untuk anak-anak bulus which is good and recommended👍. Cuma ruang mereka nak berlari tu agak terhad la kan

  • Rumah jenis lot atau teres takda masalah selagi ada ruang yang mencukupi untuk anak-anak bulus. Biasa orang buat sangkar beroda 2 tingkat atau 3 tingkat lengkap dengan tempat tidur, tempat makan dan tandas. Tapi, kalau anak bulus jenis yang tak nak dikurung macam mana? Nak tak nak kenalah lepaskan dalam rumah supaya mereka boleh bergerak bebas

Amad Putam a.k.a Putam


2. Cuba Bela Kucing Jalanan (stray cat)
  • Sebenarnya, isu "Don't Buy, Adopt" ni agak subjektif dan setiap orang berlainan pendapat serta pandangan. Bagi aku, tiada masalah untuk beli kucing terutama yang berbaka. Namun, aku memilih untuk bela kucing samada adopt dari orang atau ambil dari jalanan bawa balik ke rumah. Dari dulu lagi, aku lebih selesa bela kucing kampung sebab penjagaan mereka lebih mudah dan murah

  • Lagi satu, aku suka bela anak kucing means baby yang berusia sebulan atau dah putus susu. Keutamaan diberikan pada anak kucing yang sudah tiada ibu atau ibunya meninggalkan dia. Bila kita bela dari kecil, senang kita nak latih mereka dalam rumah. Lagipun kita boleh nampak perkembangan mereka dan mereka juga akan lebih kenal kita sebagai family.


3. Makanan
  • Pemilihan kibble yang sesuai penting untuk jaga buah pinggang kucing kita. Dulu aku bagi makan kibble yang warna-warni tu. La ni baru aku tau kibble berwarna-warni tu mengandungi garam dan boleh menyebabkan batu karang pada kucing😭. Pilihla kibble premium yang grain free. Sekarang banyak pilihan kat petshop atau secara online. Harga memang mahal, tak terbanding dengan harga 10kg beras kita makan😜 tapi demi nak bagi mereka sihat inilah yang terbaik.

  • Makanan kucing ni ada 2 jenis, dry food (kibble) dan wet food. Ada wet food yang kita boleh beli atau buat sendiri (homemade). Wet food ni ramai vet tak galakkan bagi selalu atau setiap hari. Tapi kita boleh latih kucing kita hadkan pengambilan wet food. Banyak makan wet food pun tak bagus untuk gigi mereka. Nanti timbul penyakit gingivitis la, gusi bengkak la, ulser la. 

  • Selain kibble dan wet food, snack treats pun rajin kita bagi kat kucing kita kan. Kira macam 'jajan' la untuk diaorang tapi dalam bentuk tiub. Ada juga yang bagi suplimen seperti brew yeast, minyak ikan kod, multivitamin, immune booster dan banyak lagi. Kena hati-hati sebelum nak bagi ye, bukan semua kucing sesuai untuk telan suplimen ni. Aku hanya bagi brew yeast je dulu. 

Mia Adriana a.k.a Mia


4. Rawatan
  • Bila anak bulus sakit, memang susah hati kita dibuatnya. Dia bukan macam manusia boleh cakap sakit apa, sakit kat mana. Yang dia boleh buat adalah tunjukkan simptom tu. Contoh, kurang aktif dan makan tak berselera. Bila dah datang sakitnya, kita kena bawa pergi jumpa vet untuk dapatkan rawatan. Jangan biar anak bulus kita menderita sampai meleleh air liurnya, berair matanya, muntah dan berak berdarah
 
  • Bila mereka sihat, kita bahagia. Bila mereka sakit, poket kita menderita hahaha. Tak dinafikan kos rawatan mereka lebih mahal dan kadang-kadang mencecah ribuan ringgit jika melibatkan pembedahan. Jadi kita kena bersedia dari segi kewangan. Sebab itu, penting sangat kita cegah dari awal iaitu pemakanan mereka. 

5. Kesihatan
  • Aspek kesihatan termasuklah ubat cacing dan ubat kutu. Bagi yang nak bela kucing, kena tahu dan pastikan kucing diberi dua ubat ni. Biasanya, vet akan cek dahulu dan rekomen mengikut keperluan. Kalau banyak bagi wet food, vet akan cadang bagi ubat cacing 3 bulan sekali. Jika kucing tiada kedua-dua masalah ini alhamdulillah ... tandanya kucing anda sihat

Rosmilla a.k.a Milla


6. Vaksin
  • Macam mana pentingnya vaksin pada manusia, sama juga pada kucing. Jika amik kucing jalanan dan bawa balik ke rumah, buatlah temujanji untuk beri vaksin. Vaksin ini penting untuk melindungi kucing dari penyakit seperti Parvo dan Sporo. Untuk permulaan, kucing akan divaksin 3 kali (sebulan sekali), kemudian diikuti dengan annual vaccine (setahun sekali). Kos vaksin pula dalam lingkungan RM30-RM40 bergantung pada klinik mana anda pergi

  • Kalau anda adopt kucing dari orang lain, pastikan anda tahu kucing itu telah divaksin atau belum. Minta kad kesihatan dari pemilik asal itu dan teruskan follow-up di vet yang berhampiran anda.


7. Pemandulan
  • Walaupun isu ni agak sensitif dan sentiasa mendapat kecaman sesetengah pihak, tapi aku suka nak nasihatkan pada yang nak membela kucing kalau boleh mandulkanlah terutama kucing jalanan. Pengalaman aku, Mochi dan Bennie adalah 'mangsa' dari kesan ibu kucing yang tidak dimandulkan dan kerap melahirkan anak

  • Kita bukan nak berlaku kejam, tapi lagi kejam kalau jumpa anak kucing yang terbiar atau dibuang di pasar dan tepi-tepi kedai tanpa ibunya disisi. Akhirnya, dia mati kebuluran dan kesejukan. Sebab itu, penting kalau kita amik kucing jalanan (stray cat) jagalah kesihatannya dengan mandulkan dia. InsyaAllah anak bulus akan lebih sihat dan happy serta jumlah kucing jalanan dapat dikurangkan.

Rosmillie a.k.a Millie


8. Jangan Malas
  • Selain makanan dan ubat-ubatan, kita kena sediakan tandas khas sekiranya nak bela dalam rumah. Ada orang kata kucingnya berak dalam tandas tak perlu beli pasir. Ada orang kata kucingnya perlu ada tandas kucing dan pasir. Bagi yang kucingnya berak dalam pasir, anda dilarang MALAS. 

  • Bila anda MALAS, kucing anda akan terabai dan akhirnya jatuh sakit. Rumah anda akan berbau busuk dan orang takkan rasa selesa duduk dalam rumah sebab ada najis kucing. Dalam bab kebersihan, sangatlaaaa penting kita pastikan tandas mereka bersih. Najis perlu dibuang supaya mereka selesa nak 'membuang' lagi. Perlu diingat banyak mereka makan, banyak la mereka 'membuang' hehe

  • Tak kisahlah guna pasir ke, tofu ke, pasir kristal ke, pinewood ke tandas mereka perlu dibersihkan setiap hari. Tukar pasir atau tambah itu bergantung kepada bilangan kucing yang anda bela. Kalau banyak kucingnya, tukarlah pasir setiap 3 hari atau bila pasir dah berkurang. Kalau pasir tu dah basah dan tak boleh menyerap najis lagi, basuh bekas tandas tu dan gantikan dengan pasir yang baru. Begitulah berulang-ulang sehingga ke akhir hayat hehehe.


9. Jangan Bergaduh Dengan Jiran Sebab Kucing
  • Dalam Islam pun dah ditekankan, kebajikan dan keselesaan jiran kita kena jaga juga. Jangan kerana kita bela kucing, jiran bermasam muka. Sebab apa? sebab kucing kita berak depan rumah dia di laman dia. Mana-mana jiran pun takkan suka

  • Bila kucing anda jenis outdoor keluar pagi balik petang, anda kena rajin skit untuk cakna kalau dia ada 'membuang' di kawasan rumah orang. Itu belum lagi kes mereka masuk rumah dan curi lauk. Kalau ikutkan, kucing jika berak di rumah jiran, pemilik kucing tu yang kena datang sendiri bersihkan najis 

  • Kucing jenis indoor juga ada isunya. Kalau letak sangkar kucing di luar dan kucing terkurung untuk masa yang lama menjerit mintak keluar tapi kita tak endahkan. Bukan saja kucing kita stres, tapi jiran kita pun rasa terganggu dengan keadaan ini. Jadi, sentiasalah ambil tahu dan pastikan kucing dan jiran kita sama-sama selesa

Mochito a.k.a Mochi


10. Sayang Jangan Hanya Sekejap
  • Ada yang sayang kucing bila dia sihat dan aktif. Tapi bila dia sakit dan tiada ubatnya, dia ditinggalkan. Malah, ada juga yang meninggalkan kucing mereka ketika berpindah ke tempat lain. Sedih sangat yang ni, dan aku tak boleh maafkan diri sendiri sekiranya ia berlaku padaku. Mintak dijauhkan! 

  • Perlu sangat kita tahu dan sedar yang bila kita dah mula bela kucing, kita kena all-out dari segi kasih sayang, perhatian dan kebajikan. Kalau tak boleh beri ni semua, baik jangan bela. Mereka bukan anak patung yang boleh kita tinggal atau buang tepi jalan. Mereka ada nyawa dan nyawa mereka adalah amanah untuk kita

  • Sebab itu, bila aku bela kucing aku akan bela dan sayang sampai mati. Takkan beri pada orang lain, takkan buang atau jual. Biarlah dia kucing biasa tiada baka sekalipun, kalau dah bela itulah kucing kita dunia akhirat.

To people you are just a cat.
To me you are my world



11. Banyak Bersabar

  • Bela haiwan terutama kucing perlukan banyak kesabaran dari anda. Tapi kan ada ketikanya, bila kita dah bela kucing tanpa kita sedar ia memupuk kesabaran dalam diri dan akhirnya kita bertambah sayang

  • Sabar bila mereka kencing dan berak merata untuk permulaan. Sabar bila mereka 'memancut' di sofa, di tilam. Sabar bila mereka cakar sofa sampai rabak. Sabar bila mereka makan bersepah. Sabar bila mereka berlari panjat kabinet. Sabar bila mereka pecahkan pasu bunga. Sabar bila mereka terjah kita time tido. Sabar bila mereka tido sebelah laki kita. Sabar bila mereka duduk atas riba laki kita😂

  • Sabar disini bukanlah bermaksud wat bodoh je. Tapi disusuli dengan idea untuk menyelesaikan masalah tersebut. Contohnya, anak bulus kencing dan berak merata terutama baby bulus yang belum tahu berak dalam tandas. Biasanya mereka akan berak di sudut-sudut terpencil dalam rumah. Bersihkan macam biasa, sembur pewangi. Kemudian, tunjukkan anak bulus jalan ke tandas. Jangan angkat atau dukung mereka, tapi bagi mereka berjalan sendiri sehingga sampai ke tandas. Masukkan mereka dalam tandas tu sekejap untuk bagi mereka 'cam'kan bau. InsyaAllah nanti mereka akan pandai sendiri dan takkan 'membuang' merata lagi.

Amad Dino a.k.a Dino

12. Rajin Cari Info Tentang Kucing

  • Carilah apa sahaja maklumat tentang kucing anda. Sekarang ni berlambak info kita boleh dapatkan di media sosial. Janji rajin je. Dapatkan pandangan dan nasihat dari vet juga. Jangan mudah bagi kucing apa-apa produk di pasaran sebelum mendapatkan pandangan dari vet

  • Perlu ada sedikit sebanyak ilmu tentang penjagaan kucing yang baik. Info-info seperti jenis-jenis penyakit, keperluan, makanan sihat, rawatan yang diperlukan dan lain-lain. Apa yang kucing suka, apa yang kucing tak suka. Apa yang elok untuk mereka dan apa yang bahaya untuk jangka panjang

  • Kita kena belajar untuk memahami emosi mereka. Nampak lucu kan, tapi itulah caranya kalau kita nak bonding dengan anak bulus kita. Perlu ada sentuhan dan pelukan. Selalulah cakap dengan mereka walaupun orang lain tengok kita macam orang gila😂 borak ngan mereka seperti kita borak ngan anak. Tanpa kita sedar, mereka juga akan faham perkataan kita dan berikan respon yang menakjubkan!

  • Bila kita dah tahu serba sedikit tentang anak bulus kita, barulah kita konfiden untuk lebih bersedia untuk memberikan yang terbaik untuk anak bulus kita. Takdala berlaku pengabaian dan takdala kucing kena buang sebab kesedaran itu ada dalam diri kita.

Amad Bennie a.k.a Bennie


Begitulah serba sedikit tips yang dapat aku kongsikan. Kalau ada tips lain yang bermanfaat boleh share kat komen bawah. Walau jenis kucing apapun yang kita bela, keikhlasan itu adalah yang utama. Sebab kucing ini pemberi rezeki yang sentiasa mendoakan kita. Sedangkan kucing kat kedai tu yang minta makan di kaki kita pun mendoakan rezeki bila kita bagi mereka makan. Inikan pula kucing yang kita bela, belai dan tak putus bagi makan setiap hari yang kita jaga bila dia sakit. 


Bagi yang baru nak berjinak bela kucing, satu lagi benda yang anda perlu tahu dan wajib hadam adalah :

Tuan : 😸 (anak bulus)
Bibik : 👩 (kita)


Hahaha tapi kita semua adalah bibik yang bahagia dengan tuannya 😂😉


Ikhlas selalu,

Bibik Hanim😎

Sunday, December 25, 2022

Sunday, December 25, 2022

Vaksin Pertama Bennie

 

Pejam celik pejam celik, 'budak' kecik nak masuk 3 bulan umur dia. Kemain lincah dia menghuru-harakan rumah sekarang. Habis yang tua semua dia kokak tanpa rasa bersalah. Yang peliknya, kakak-kakak dan abg-abg dia tak pulak marah tu, malah melayan lagi ade la haha.


Tapi kalau diaorang sama dia bergurau kasar mesti berakhir dengan gaduh. Begitulah bila dah jadi kesayangan. Baby pulak tu. Harap yang ni last la haha. Bukan aku tak nak amik lagi stray cat, tapi ruang dalam rumah pun dah terhad sekarang. Dengan manusia lagi, dengan perabot lagi. Kesian kat diaorang kalau main berlari dalam rumah tu kena berpanjat bagai huhu.


Ada je stray cat yang datang ke rumah sekarang, tapi aku bagi makan di luar rumah je. Asalkan dia tak 'pancut' dan duduk situ tak bergaduh ngan kucing lain dah la. Tapi mana la kita nak tau, takdir Allah terbuka hati ni nak adopt kucing lagi huhu. Last time aku cakap Dino tu yang 'bongsu' last-last Bennie muncul haha.



Nervous tunggu giliran


Bila tiba masa untuk vaksin, dia punya perangai lincah tu tetap tak hilang ye haha. Masuk bilik doktor, tak reti duduk diam. Bukan sebab takut ke doktor, tapi jakun tengok keliling dia. 'Orang baru' la kata kan haha.


Sebelum tu timbang berat dulu. Alhamdulillah 2kg dah dia. Doktor kata Bennie sihat takda masalah earmite, kutu, fungus dan gugur bulu pun sikit je. Makan minum berak semua elok.






Setel vaksin pertama. Bulan depan vaksin kedua pula menyusul. Kesayangan mama .... paling manja dan kuar purrr purrr. Kalau datang manja dia muka kita dijilatnye. Tapi kalau dia tengah main kita nak dukung manja jangan harap la dapat haha. Boleh tahan degil jugak budak ni!



Friday, October 21, 2022

Friday, October 21, 2022

Kali Pertama Ke Ekspo Kucing 2022

 

Bersawang habis blog bulan ni! Mana pergi semangat tu entah. Nak kata hilang, takda sebab. Mungkin terlampau sibuk dengan hidup sekarang sejak aku amik balik jawatan mama supir haha. Tapi syukur sangat kehidupan kini sedikit berubah. Tapi penatnya yarabbi! Badan dah tua la katakan.


So moh le kite citer pasal ekspo kucing yang aku pergi awal bulan Oktober aritu. Memang aku dah lama sangat target nak bawa anak-anak pergi sini. Since kali pertama kami pergi sini, memang aku tak tahu apa nak expect atau nak kena bawa apa. Tapi yang aku tahu aku nak pergi sana tengok barang-barang kucing dan survey harga kibble.



Ekspo Kucing yang berlangsung selama 3 hari ni diadakan di MARTRADE dari jam 10 pagi sehingga 10 malam. Kami dapat pergi pada hari terakhir ekspo, memang dah dapat agak akan lebih meriah dan padat dengan orang yang pergi pada saat-saat akhir. Tapi syukur kami pergi pagi dan tak perlu bersesak beratur nak beli tiket.


Bayaran lima ringgit sorang, memang ok la sangat kan. Dapat gelang masuk dan buku baucar untuk tebus pelbagai barang kucing. Aku dah tak sabar nak 'ukur jalan' dalam dewan tu hehe. Anak-anak cakap mama ni terlebih eksaited sangat padahal bukan shopping barang aku atau diaorang pun. Eh mesti le eksaited, ni first time kot! Sayang anak-anak bulus macam ni la, kan aku dah cakap kalau dah sayang memang sayang sungguh!




Ekspo kucing tapi bukan ada pameran kucing saja kat ekspo ni. Ada juga pameran burung, reptilia dan haiwan berbulu lain seperti arnab, hamster dan kambing. Pendek kata, yang datang ni bukan saja pencinta kucing tapi pencinta haiwan.


Booth makanan kucing pelbagai jenama memenuhi setiap ruang dewan. Berpinau mata aku pergi ke setiap booth. Rupa-rupanya, buku baucar yang dapat free tadi boleh digunakan untuk tuntut hadiah dari setiap booth. Maklumla, first time datang tengok orang dok pegang buku baucar beratur tunggu nak dapatkan free gift. 


Sambil-sambil tu kami singgah kat booth pameran haiwan dan mencuba beberapa aktiviti seperti beri makan arnab dan pegang ular!









Nak jugak tu bergambar dengan haiwan haha. Dapatla bergambar dengan burung kakak tua, ular dan arnab. Ular tu memang aku tak tau dari mana datangnya keberanian nak sentuh dia! Inilah kali pertama aku pegang ular, tak sangka kulit dia licin dan lembut haha.


Aku kalau nampak arnab mulala nak jadi macam budak-budak jugak. Teringin nak masuk 'kandang' bagi diaorang makan haha. Bayaran cuma lima ringgit pastu kau akan diberi sebatang lobak merah (kerat 20), masuk dalam dan bolehlah 'bermanja' dengan arnab sambil bagi makan haha.







Penat berjalan dalam dewan, kami singgah food truck kat luar dewan ekspo untuk mengisi perut yang lapar. Lepas makan sambung lagi masuk dalam. Anak-anak dah mula mengeluh penat. Relaks la! Mama tak habis jalan lagi ni haha. Dari pukul 10 sampai pukul 2 petang aku keluar masuk dalam.


Dah cukup tebus free gift dan beli kibble untuk 'majikan-majikan' di rumah, so moh le kita balik hehe. Alhamdulillah misi tercapai nak datang ekspo ni. Memang puas hati sangat dengan aturcara event ni, walaupun ramai sangat orang tapi masih mudah dapat parking kereta. Cuma kat pintu masuk tu kadang-kadang 'berlaga' dengan troli bawa barang yang keluar masuk. Bukti jualan laris la kan!


Thank you suami dan anak-anak temankan mama jalan-jalan kat ekspo kucing ni. Looking forward to the next event kalau diizinkan :).

Disclaimer

If you require any more information or have any questions about our site's disclaimer, please feel free to contact us by email at wanimira737@gmail.com.


All the information on this website is published in good faith and for general information purpose only. www.hanimhashim.com does not make any warranties about the completeness, reliability and accuracy of this information. Any action you take upon the information you find on this website (www.hanimhashim.com), is strictly at your own risk. www.hanimhashim.com will not be liable for any losses and/or damages in connection with the use of our website.