Breaking

Showing posts with label Sekolah Menengah. Show all posts
Showing posts with label Sekolah Menengah. Show all posts

Saturday, December 14, 2024

Saturday, December 14, 2024

Selamat Berjuang Kakak!

 

Tahun ini kakak berdepan dengan satu peperiksaan besar ... iaitu SPM. Tahun ini juga adalah tahun terakhir kakak bergelar sebagai pelajar sekolah menengah. Besau dah anak aku yang sulung ni. Rasa macam baru semalam daftarkan dia di darjah satu!


Tahun ini kakak akan berjuang demi SPM. Sepanjang kakak dari sekolah rendah sampai tingkatan tiga, ibu cuba sedaya upaya mengajar kakak mana yang mampu untuk subjek yang kakak tidak tahu. Ternyata bila masuk tingkatan empat, silibusnya totally different! Walaupun ibu juga pernah amik aliran sains di sekolah menengah dulu, tapi otak dah tepu tak berapa nak ingat dah haha.




Awal November kakak dah bermula dengan ujian pertuturan Bahasa Melayu, diikuti dengan amali sains untuk ketiga-tiga subjek Fizik, Biologi dan Kimia. Minggu depan kakak akan menghadapi ujian pertuturan Bahasa Inggeris pula. Bulan Januari barulah peperiksaan bertulis akan bermula. 

Sebagai ibu, tipulah kalau ibu tak rasa gementar. Apatah lagi kakak mesti gementar juga sebagai pelajar kan. Begitulah ibu dulu pon, dan semua calon SPM. Mesti ada rasa gementar nak jawab periksa. Sebab itu, bulan ni dan bulan depan ibu banyak amik cuti untuk beri semangat pada kakak bila jawab soalan nanti.





Apa saja aktiviti yang melibatkan sekolah, ibu akan hadirkan diri untuk support kakak dan adik. Baru-baru ni PIBG ada buat solat hajat untuk calon-calon SPM, ibu dan adik ambil peluang untuk hadir support dan mendoakan yang terbaik untuk kakak dan semua pelajar SPM.

Selain usaha, doa dan restu ibubapa juga penting untuk kejayaan anak-anak. 



 
Selamat berjuang buat anakku, Nurul Hazwani! Doa dan sokongan serta restu ibu dan ayah akan sentiasa mengiringi kakak. Semoga kakak dapat menjawab soalan dengan tenang dan baik, diterangkan hati, diberi kesihatan yang baik dan dipermudahkan segala urusan kakak....amiinn amiiin yarabbal alamin!


Monday, July 08, 2024

Monday, July 08, 2024

Bila Anak Langgar Peraturan Sekolah

 

Isu ni dah beberapa hari viral di media sosial, tentang seorang bapa yang mengamuk pergi 'serang' ustaz akibat dikatakan tidak berpuas hati kerana ustaz tersebut telah memotong rambut anaknya tanpa keizinan. Itu satu. Kemudian, bapa itu dikatakan membuat ugutan dan tindakan provokasi terhadap ustaz tu.


Mungkin juga ustaz itu pun ada silapnya tidak memaklumkan tindakan memotong rambut kepada ibubapa murid tersebut, namun perkara ini tidak akan selesai dengan mengamuk secara terbuka, dan akhirnya tindakan sendiri memakan tuan.


Yang buat aku tersedak tu, dia samakan situasi rambut anak dia dengan rambut baginda s.a.w. Aku tak pasti samada dia tahu ke tak budak-budak tahfiz di madrasah ada je yang tak simpan rambut panjang. Ramai je yang mengekalkan rambut pendek, kemas dan rapi. 



Nah tengok bawah!



Kredit kepada empunya gambar. Nah kau tengok! Ni gambar budak tahfiz kategori remaja. Takda pulak aku tengok rambut diaorang panjang sampai bahu? Adakah kita nak cakap diaorang ni tak ikut sunnah Nabi? Celah mana yang kena mengena dengan syurga atau neraka? Jadi anak dia terpaling syurga ke? I don't think so... 


Isu dia sebenarnya, anak kau GAGAL IKUT PERATURAN sekolah. Tu je. Semua ibubapa mesti dah sedia maklum peraturan sekolah tak kira rendah atau menengah, rambut pelajar lelaki MESTI PENDEK DAN KEMAS. Umur bapa ni mungkin dalam lingkungan 40an atau 50an, bermakna dia pernah pergi sekolah dan pernah terikat dengan peraturan sekolah kan?


Dah kalau dia sendiri dulu pun kena ikut peraturan sekolah, apa yang special sangat anak tu sampai boleh bela rambut panjang?? Adakah dia terkena penyakit yang kalau simpan rambut pendek boleh kudung sebelah kaki? atau tiba-tiba jadi sesak nafas? Kot ye ada surat dari doktor mengatakan cenggitu ... barulah berbaloi kau mengamuk sampai macam tu.


Aku tak mahu cerita beza murid dulu dengan sekarang, sebab rata-rata semua orang terutamanya generasi 80an-90an telah merasa pedihnya hidup bila kau sengaja langgar peraturan sekolah. Bukan saja cikgu boleh rotan kau, potong rambut kau, cubit, denda ketuk ketampi dan sebagainya tapi bila mak bapak tahu kau kena 'tiau' dengan cikgu, mak bapak akan 'tambah' lagi sambung di rumah hehe. 


Begitulah jugak aku kena dulu haha. Tapi lepas tu, nak buat lagi tak? Takk! At least aku tahu yang next time kalau aku buat hal lagi atau langgar peraturan sekolah, aku tahu yang bapak tidak akan back-up! So what's the point buat jahat kan?


Lagi satu, macam la kau tak boleh simpan rambut panjang tu lepas habis sekolah. Dah habis SPM besok, kau simpan la rambut tu panjang macam pontianak, takda sapa akan gunting rambut kau dah! 


Kepada ibubapa termasuk aku yang mempunyai anak yang masih bersekolah tak kira rendah atau menengah, tolonglah nasihatkan, peringatkan, beri amaran (jika kau tahu anak kau nakal nauzubillah) pada anak-anak kita untuk sentiasa patuh pada peraturan sekolah. Jangan susahkan cikgu dan pihak sekolah. Kau masuk sekolah tu, jadi murid yang taat, hormati cikgu dan siapkan kerja sekolah yang diberi.


Kita semua tahu nak handle anak remaja bukan mudah. Anak nakal, takmo dengar cakap, suka memberontak itu lumrah dalam proses kita membentuk mereka jadi manusia berguna. Aku sendiri kadang-kadang mengucap panjang walaupun anak perempuan haha.


Moga kita semua diberikan kesabaran yang tinggi dalam mendidik dan mengasuh anak-anak kita agar menjadi keturunan yang berhati baik, berperangai baik, hidup dalam keberkatan dan dipermudahkan selalu. Aamiinnn allahuma amiinn..

Wednesday, May 22, 2024

Wednesday, May 22, 2024

Penetapan Target & Format SPM 2024

 

Baru-baru kami ke sekolah untuk menghadiri program penetapan target SPM. Anak sulungku bakal menduduki peperiksaan terpenting dalam tahun-tahun persekolahan dan semestinya semua target nak straight A's kan!


Ibubapa diberi taklimat tentang bagaimana keputusan SPM diperolehi dan kriteria yang membolehkan pelajar mendapatkan sijil SPM. 


Format sijil SPM juga telah bertukar. Aku tak pasti adakah format ini telah lama digunapakai atau baru tahun ini dilaksanakan tapi yang pasti ia tidak sama macam zaman aku dulu haha. 



Format yang telah diperkenalkan dan dikuatkuasakan sejak tahun 2013 ini mewajibkan pelajar untuk lulus bagi kedua-dua subjek BM dan Sejarah. Namun begitu, pelajar tidak akan dapat SIJIL SPM sekiranya:


  • gagal/tidak hadir untuk kedua-dua subjek BM dan Sejarah
  • gagal/tidak hadir untuk salah satu subjek (BM atau Sejarah)
  • gagal/tidak hadir untuk mana-mana kertas (Kertas 1/2/amali) bagi subjek BM dan Sejarah

Sekiranya pelajar gagal salah satu dari subjek BM atau Sejarah, maka KPM hanya akan mengeluarkan
PERNYATAAN KEPUTUSAN bagi menggantikan SIJIL SPM.


                   


Selain itu, format bagi  SIJIL SPM 2024 akan memaparkan HANYA SUBJEK YANG LULUS SAHAJA di atas sijil/pernyataan. Meaning, kalau gagal subjek Matematik, maka dalam sijil tidak akan dipaparkan nama subjek itu dan grednya.

Maksudnya, kalau pelajar amik 9 subjek dan hanya lulus 5 subjek maka hanya 5 subjek itu sahaja yang akan dicetak di atas SIJIL SPM. 

Sebab itu penting untuk semua calon SPM lulus terutama bagi subjek BM dan Sejarah. Gagal salah satu atau kedua-duanya maka yang akan dapat hanyalah PERNYATAAN KEPUTUSAN. Subjek lain dapat A+ sekalipun, PERNYATAAN KEPUTUSAN tu tak laku ye jika nak menyambung pelajaran di peringkat seterusnya.




Pengetua juga menekankan kehadiran ke sekolah amatlah penting apatah lagi bagi calon SPM. Satu hari saja tak hadir, maka pelajar tu akan banyak terlepas ilmu dan pembelajaran di sekolah. Cikgu pun takkan ulang!

Diharap semua calon SPM 2024 akan berjaya dengan cemerlang dan mendapat keputusan yang sangat baik. Buat anakanda Hazwani, ibu ayah doakan moga kakak berjaya dalam SPM tahun ini...amiinn aamiinnn!



Monday, May 20, 2024

Monday, May 20, 2024

Tak Seronok Di Sekolah Baru?

 

Sejak kakak dan adik bertukar sekolah dari PJ ke KL bulan Februari yang lepas, aku takut jugakla kalau diaorang susah nak menyesuaikan diri di sekolah baru ni. Maklumla, separuh dari usia kecil (dari tadika ke sekolah menengah) mereka banyak dihabiskan di Petaling Jaya walaupun kami tinggal di KL. 


Aku risau juga kalau diaorang akan bertukar jadi introvert sebab ini kali pertama diaorang masuk sekolah menengah campur. Dah la tak kenal siapa-siapa pun kat sekolah tu. Sebab tu sebulan yang pertama, aku sering bertanya samada mereka ok ke kat sekolah tu? Cikgu dan kawan-kawan baru ok ke? Faham ke cikgu mengajar? Ada ke kawan yang mengusik? Makanan kantin ok ke? dan bermacam lagi soalan.




Tapi kalau tengok gambar kat atas ni siapa-siapa pun boleh agak samada diaorang happy dan bahagia ke tak kat sekolah baru tu hahaha. Disebabkan sekolah dekat dengan gerai jual makanan, boleh dikatakan hari-hari diaorang 'pau' aku hahaha! 

Walaupun aku ni orang lama yang tinggal di kawasan tu, tapi sumpah aku baru tau gerai makanan tepi jalan tu jual makanan goreng-goreng yang sedap giler! Budak-budak sekolah memang akan mengerumuni gerai-gerai tu untuk mengisi perut selepas waktu sekolah.

Baru-baru ni juga, adik ada bagitau yang kantin sekolah ada jual waffle RM3. Okla tu kan, harga rahmah. Aku marah juga kalau dia selalu beli nugget atau ayam goreng atau sosej je waktu rehat. Sejenis tak suka makan nasi berlauk ni payah!





Selain tu, diaorang cepat buat kawan. Alhamdulillah anak-anak aku takdala introvert sangat rupanya hahaha. Aku tanya juga cikgu mengajar korang faham ke. Alhamdulillah diaorang faham. Kalau tak faham tanya, jangan buat diam je.

Kawan-kawan ada gak yang mengusik. Maklumla, sekolah campur lelaki dan perempuan memang yang lelakinya gemar mengusik dan menyakat terutama budak-budak baru. Aku anggap itu lumrah untuk kenal-mengenal antara satu sama lain. Jangan lelebih dah la.

Overall, diaorang memang happy kat sekolah kat baru. Kakak bagitau dia terpilih dalam sukan lontar peluru mewakili rumah sukan. Adik pulak dapat masuk perbarisan kawad rumah sukan. Memang dia suka kawad haha.

Hari-hari ada je cerita lucu dari sekolah yang adik bawa balik. Aku pun tak risau sebab diaorang dah pandai bawa diri di sekolah baru. Untuk kakak, ini tahun terakhir di sekolah menengah. Kena fokus lebih untuk SPM.

Untuk adik, ada 2 tahun lagi insyaAllah di sini. Mesti akan ada banyak lagi memori dan kenangan yang dapat dilakarkan di sekolah ni.


Friday, February 16, 2024

Friday, February 16, 2024

Bye Assunta, Bye Taman Petaling!

 

Dari tadika sampai la ke sekolah rendah sampai la ke sekolah menengah, setelah 12 tahun anak-anak aku bersekolah di PJ akhirnya aku amik keputusan untuk tukarkan sekolah mereka di KL tahun ini. 


Perancangan nak tukar sekolah tu memang ada dan dah lama nak buat, tapi aku asyik bertangguh. Urusan persekolahan anak-anak memang aku yang uruskan dari dulu sampai sekarang. Jadi, nak tukar sekolah pun aku jugak yang kena turun naik PPD dan sekolah diaorang.


Memandangkan kakak dah Form 5 tahun ni, dia kerap mengadu penat bila balik dari sekolah sebab terkejar-kejar nak mengulangkaji. Jarak sekolah antara PJ dan KL pun agak jauh, kalau jalan jem mau sejam baru sampai umah.


Dulu aku keje waktu pejabat, bolehlah hari-hari hantar dan amik anak-anak dari sekolah.Tapi sejak aku keje syif ni aku lebih banyak masa di KL dan kalau anak-anak hari pergi sekolah means aku kena ulang alik KL-PJ setiap hari. Makan minyak, makan masa, makan tenaga jugak!


Fikir punya fikir, aku nekad tukarkan diaorang sekolah dekat dengan rumah. Lalu, minggu akhir Januari aku pergi ke pejabat sekolah kakak dan adik untuk ambil borang pertukaran sekolah. Kakak dan adik tidak bersekolah di sekolah yang sama ye. Kakak di SMK Assunta dan adik di SMK Taman Petaling. 



Kenapa tak sama sekolah?


Sekolah kakak ada dua sesi pagi dan petang. Sekolah adik hanya satu sesi je. Bila kakak dah Form 3 adik baru Form 1 dah tentu sesi persekolahan mereka takkan sama kalau satu sekolah. So, aku asingkan supaya mereka boleh balik sekolah pada waktu yang sama. Menyenangkan untuk aku ambil dan hantar mereka juga. Bayangkan kalau sorang sekolah pagi, sorang sekolah petang. Kena ulang alik KL-PJ berapa kali satu hari? Keghingggggg minyak kereta wak! hahha...


Tahun ni kakak dan adik Form 5 dan Form 3, jadi diaorang sesi pagi. Oh sekolah baru diaorang ni pun rupanya satu sesi jugak rupanya haha. 


Bila dah isi borang, aku lampirkan salinan yang diperlukan macam IC kakak dan adik, IC aku dan encik suami, sijil nikah dan bil elektrik. Memandangkan aku tukar sekolah dari PJ ke KL, maka aku kena pergi ke PPD Bangsar/Pudu untuk hantar borang tukar. 



Alhamdulillah pihak sekolah Assunta dan Taman Petaling saaaaaaaaangat membantu memudahkan urusanku. Dalam 2 hari je aku dah pergi ke PPD hantar borang. Jawapan dari PPD pulak kena tunggu 5/2/2024. Berdebar rasa macam aku pulak yang tukar sekolah haha.


Dah dapat surat kelulusan dari PPD, aku bawak anak-anak daftar di sekolah baru. Minggu tu minggu terakhir sebelum cuti Chinese New Year. Kakak dan adik pun dah dapat tahu kelas masing-masing. Kini semuanya dah selesai, so nanti bukak sekolah dan sesi baru kakak dan adik akan bersekolah di sekolah yang lebih dekat dengan rumah. Diaorang memang nervous tapi insyaAllah semua itu dapat diatasi. 




Semoga anak-anak ibu terus cemerlang walau dimana jua berada!

Tuesday, April 05, 2022

Tuesday, April 05, 2022

Hari pertama sekolah

 

Assalamualaikum! Setelah dua minggu mereka pdpr, akhirnya pada tarikh 4hb April mereka mula masuk sekolah secara bersemuka. Orang lain dah habis update gambar anak-anak hari pertama persekolahan. Ada yang kongsi gambar bekal anak-anak (sebelum posa aritu), ada yang kongsi gambar anak balik dari sekolah.


Aku baru nak kongsi gambar hari pertama kakak dan adik pergi sekolah. Tapi sayang, mama tak dapat ikut hantar kakak dan adik ke sekolah pada hari pertama. Disebabkan oleh SOP yang tidak membenarkan ibubapa stay kat sekolah anak. 


Adik tanya juga, mama tak boleh masuk sekolah adik ke? Aik ... nak kena hantar sampai ke kelas ke? Dia tersengih aje macam kerang busuk hehe. Nak mama hantar la tu. Feeling macam masuk darjah satu gamaknye hehe.




Adik dah sama tinggi ngan kakak. Panjang dah anak-anak mama. Dua-dua bersemangat hari pertama sekolah. Ye la, dah berapa lama mereka tunggu saat ini. Terutama kakak, dua tahun dia tak dapat aktif di sekolah disebabkan Covid-19. Memang hari inilah yang ditunggu-tunggu. Sebab tu semangatnya berkobar-kobar lain macam.


Untuk adik pulak, pastinya bersemangat nak jejakkan kaki pertama kali di sekolah menengah. Bab kawan mama tak risau sebab adik kenal kebanyakan kawan-kawan dia. Ada juga yang dari sekolah rendah dan sekolah agama yang sama. 


Selamat bersekolah anak-anakku. Rajin-rajinlah belajar. Gunakanlah peluang ini sebaik mungkin untuk menimba ilmu di sekolah. Harapnya biarlah mereka dapat peluang pergi sekolah dan aktif semula kan.

Thursday, March 31, 2022

Thursday, March 31, 2022

Perlu ke terima suntikan Tetanus?

 


Assalamualaikum! Vaksin ape pulak dah ni. Tak habis-habis cucuk sana cucuk sini. Hari tu cucuk vaksin untuk Covid-19. Yang ni cucuk vaksin untuk Tetanus pulak. 


Tetanus ni apa pulak? Haa ibubapa kena ambil tahu juga pasal Tetanus ni ye. Nanti anak-anak tanya kenapa kita kena ambik vaksin Tetanus ni? Takde la tergagap-gagap nak jawab.


Apa Itu Tetanus?

Sejenis penyakit kancing gigi yang melibatkan sistem saraf yang boleh menyebabkan kekejangan otot. Boleh bayangkan tak macam ketap gigi tu. Punca daripada jangkitan kuman Clostridium Tetani yang terdapat dalam tanah, habuk dan baja. 


Antara gejala penyakit kancing gigi :
  1. kekejangan pada otot rahang (ketap gigi)
  2. kekejangan pada otot lain seperti otot pernafasan, leher, paha dan lain2
  3. kesakitan akibat kekejangan
  4. sukar untuk menelan
  5. sawan perubahan pada tekanan darah


Biasanya orang kaitkan penyakit kancing gigi dengan terkena karat besi. Tapi bukan karat tu penyebabnya tapi kuman Clostridium Tetani yang terdapat pada karat besi yang terdedah. Adapun, ia juga tersebar melalui titisan daripada batuk atau bersin.




Suntikan Tetanus termasuk dalam jadual imunisasi kebangsaan. Jadi pelajar tingkatan tiga perlu dapatkan suntikan ini di klinik kesihatan atau klinik desa yang ditetapkan. Lepas tu surat pengesahan yang diberi oleh klinik perlu dibawa ke sekolah untuk diberi pada guru nanti.


Macam biasa, aku temankan kakak hari tu. Urusan berjalan dengan lancar dan cepat alhamdulillah.


sumber : doctoroncall


               


Vaksin Tetanus

Seperti vaksin-vaksin lain, vaksin Tetanus bukanlah fungsinya mencegah terus dari penyakit kancing gigi. Tapi, vaksin ini berfungsi membina imuniti untuk melawan kuman Clostridium tetani. Kalau terkena kancing gigi, komplikasinya tidak seteruk berbanding yang tidak divaksin.


Terdapat 4 jenis vaksin yang boleh berfungsi untuk melindungi anda daripada penyakit tetanus atau kancing gigi.


Jenis Vaksin
Penyakit Yang Disasarkan
Golongan Yang Menerima Suntikan
DTaP
Difteria, Tetanus, Pertussis (Batuk Kokol)
Bayi seawal 6 minggu sehingga kanak-kanak
berusia 6 tahun
DT
Difteria, Tetanus, Pertussis (Batuk Kokol)
Bayi seawal 6 minggu sehingga kanak-kanak
berusia 6 tahun yang tidak boleh menerima vaksin pertussis
Tdap
​Difteria, Tetanus dan Pertussis
- Golongan remaja (11-12 tahun)

- Golongan dewasa

-Ibu mengandung

Td
​Difteria dan Tetanus
Golongan kanak-kanak berusia 7 tahun ke atas dan orang dewasa
sumber : doctoroncall


Disclaimer

If you require any more information or have any questions about our site's disclaimer, please feel free to contact us by email at wanimira737@gmail.com.


All the information on this website is published in good faith and for general information purpose only. www.hanimhashim.com does not make any warranties about the completeness, reliability and accuracy of this information. Any action you take upon the information you find on this website (www.hanimhashim.com), is strictly at your own risk. www.hanimhashim.com will not be liable for any losses and/or damages in connection with the use of our website.