Penyakit
Friday, August 11, 2017
Perbezaan Antara Sakit Jantung, Serangan Jantung & Strok
Assalamualaikum!
Penyakit yang berkaitan dengan jantung sememangnya cukup digeruni oleh semua golongan. Kalau dahulu, kita biasa dengar penyakit jantung ni hanya dihidapi oleh warga emas berusia 50 tahun ke atas. Namun faktor pemakanan, pencemaran dan cara hidup yang tidak sihat masa kini menyebabkan semua golongan masyarakat tidak mengira usia turut terdedah kepada risiko penyakit jantung.
Pun begitu, kita perlu tahu membezakan yang manakah serangan jantung dan apakah yang dikatakan dengan sakit jantung. Apatah lagi bila ia melibatkan terma yang digunakan oleh orang awam seperti kita. Biasanya, bila seseorang yang kita kenal menghidapi penyakit yang berkait rapat dengan jantung, kita akan menggunakan terus istilah "sakit jantung", sedangkan simptom dan komplikasinya berbeza.
Di hari Jumaat yang mulia ini, aku kongsikan sedikit apakah perbezaan antara ketiga-tiga jenis penyakit jantung in untuk manfaat kita bersama. Baca panjang sikit takpe kannnn 😉
Apa itu sakit jantung (heart attack)?
Sakit jantung terjadi apabila arteri dalam jantung tersumbat (blocked) menyebabkan darah yang kaya dengan oksigen tidak sampai ke bahagian tertentu dalam jantung. Jika arteri yang tersumbat itu tidak 'dibersihkan' dengan cepat, bahagian jantung yang sebelum ini menerima aliran darah yang banyak akan mula mati. Sekiranya, seseorang itu tidak mendapatkan rawatan, kerosakan akan menjadi lebih teruk. Simptom sakit jantung bermula perlahan dan boleh berterusan sehingga berjam-jam, berhari-hari atau berminggu-minggu sebelum kejadian sakit jantung.
Simptom sakit jantung
Antara simptom-simptom yang boleh kita kesan ialah :
- kerap pening kepala
- sakit/tidak selesa dibahagian lengan, bahagian belakang, bahagian leher
- sakit dibahagian dada
- berpeluh
- sukar bernafas
- sakit perut hendak muntah
- kepenatan yang teruk untuk beberapa hari atau minggu sebelum sakit jantung. Bagi wanita, gejala pedih ulu hati, batuk dan kurang selera makan boleh berlaku.
Apa itu serangan jantung (cardiac arrest)?
Serangan jantung berlaku secara tiba-tiba dan selalunya tanpa dijangka. Ia terjadi kerana kegagalan "elektrik" dalam jantung yang menyebabkan degupan jantung menjadi tidak teratur (arrhythmia). Apabila proses pengepaman terganggung, jantung tidak dapat mengepam darah ke otak, paru-paru dan organ lain. Kemudian, seseorang itu akan rebah tidak sedarkan diri dan tiada nadi. Kematian akan terjadi dalam beberapa minit sekiranya mangsa tidak menerima rawatan dengan segera.
Simptom serangan jantung
Antara simptom-simptom serangan jantung ialah :
- pengsan ketika melakukan aktiviti sukan
- sukar bernafas
- kadar denyutan tidak teratur/terlalu cepat
- selalu berasa sangat letih dan penat
- kerap pening kepala
- sakit dibahagian dada
Apa itu strok (stroke)?
Strok atau "brain attack" berlaku apabila saluran darah dalam otak tersumbat. Otak kita tidak boleh menyimpan oksigen, maka ia bergantung kepada aliran darah yang kaya dengan oksigen. Strok terjadi apabila otak kekurangan bekalan darah, dan apabila tisu-tisu ini tidak mendapat bekalan oksigen lebih dari 3-4 minit, ia akan mati.
Simptom strok (stroke)
Antara simptom-simptom strok ialah :
- beberapa bahagian seperti muka, tangan, kaki menjadi lumpuh/kebas
- kabur penglihatan secara tiba-tiba
- sakit/pening kepala dan badan hilang keseimbangan
- pertuturan tidak jelas/tidak normal dan kurang difahami
Semoga dengan perkongsian ini, kita akan dapat menambah ilmu yang sedia ada tentang organ jantung kita. Di samping itu, jom kita sama-sama jaga jantung kita dengan mengubah cara hidup dan pemakanan. Amalkan cara hidup yang sihat dan jauhilah rokok dan seangkatan dengannya. Tapi kalau korang ada soalan lebih lanjut mengenai tajuk diatas, sebaiknya korang refer pada doktor atau ahli yang pakar dalam bidang ni. Aku sekadar berkongsi fakta mengenainya.
Cakap pasal jantung ni, aku teringat kat sorang pakcik sedara aku yang kami panggil Pak Ndak Atan yang telah kembali ke rahmatullah beberapa tahun yang lalu akibat serangan jantung. Arwah tidak pernah sakit jantung (setakat yang aku tahu) sebelum itu, dan berita pemergian arwah sangat mengejutkan kami sekeluarga. Semoga roh arwah ditempatkan dikalangan orang-orang yang beriman....al-fatihah.
sumber : www.heart.org & kkm