Story Kenit
Sunday, June 07, 2020
Tiada lagi sekatan rentas negeri!
Assalamualaikum! Pengumuman yang dinanti-nantikan oleh seluruh rakyat Malaysia. Ramai yang nak tahu adakah PKPB akan berakhir 9 Jun ni? Walaupun kerajaan beri sedikit demi sedikit kelonggaran dalam beberapa sektor untuk beroperasi tapi aktiviti perniagaan tertentu dan rentas negeri masih tidak dibenarkan.
Alhamdulillah syukur, PM dah umum PKPB sudah berakhir tapi akan ditukar kepada PKPP iaitu Perintah Kawalan Pergerakan Pemulihan. Memandangkan kes baru Covid-19 harian yang dicatatkan kekal dua digit dan penularannya di kalangan warganegara amat sedikit, kerajaan mengambil keputusan untuk membenarkan aktiviti sosial dan perjalanan rentas negeri bermula 10 Jun.
Dalam tempoh PKPP ini juga, hampir semua aktiviti sosial akan dibenarkan peringkat demi peringkat dengan pematuhan SOP masih diwajibkan. Maksudnya, pasar malam, pasar pagi, pasar tani, lawatan ke muzium, memancing di kolam dan penggambaran filem dibenarkan dengan syarat pematuhan SOP dipatuhi.
Yang masih tidak dibenarkan ialah pertandingan sukan atau permainan yang melibatkan perhimpunan penyokong yang ramai seperti di stadium. Kelab malam, pub, pusat hiburan, pusat refleksologi, pusat karaoke, taman tema, perarakan keagamaan, kenduri-kendara, rumah terbuka dan apa-apa aktiviti yang melibatkan kehadiran orang ramai masih tidak dibenarkan.