Keputusan Ujian Darah
Aku mengaku bila dah masuk 4 series ni, ada satu ketakutan yang sentiasa menghantui. Sekarang ni bukan harta dan material dunia yang menjadi impianku tapi kesihatan itulah yang menjadi 'harta' paling bernilai bagi seorang manusia.
Mungkin juga aku sudah tua, maka perkara berkaitan dengan harta benda, fesyen dan keseronokan tidak lagi menjadi sesuatu yang utama melainkan aku kejar untuk jadi lebih sihat dan bersyukur masih dikurniakan kudrat untuk membesarkan anak-anak.
Jujur aku katakan, aku jarang buat pemeriksaan kesihatan menyeluruh di klinik kesihatan. Kalau ada pun, aku buat di opis kalau ada event kesihatan yang boleh cek kolesterol, gula dan tekanan darah tu.
Jadi tahun ini, aku buat keputusan untuk jalani pemeriksaan kesihatan menyeluruh untuk lebih cakna tentang tahap kesihatan.
Sehari sebelum amik darah, aku kena puasa dari malam sampai keesokannya. Lepas dua minggu amik darah, aku kena hadir semula di klinik untuk temujanji jumpa doktor dan tengok keputusan darah. Tipula kalau tak berdebar. Zaman sekarang penyakit berkaitan dengan organ banyak menyerang orang umur 40an.
Penyakit pun dah tak kira umur, sebab cara hidup dan gaya pemakanan kita yang sangat tak sihat. Tu memang aku akui lah. Sebab tu, aku dah lama tinggalkan fast food. Tambah pulak sekarang musim boikot lagilah kuat alasan aku untuk tidak makan semua tu.
Masuk dalam bilik doktor dan dia meneliti keputusan darah aku. Alhamdulillah tanpa berkias dia menyatakan bahawa semua ok! Paras hbA1c aku 5.1 (tak sempat amik gambar). Cuma paras Kolesterol LDL aku kena turunkan ke 2.6 dari 3.2 (doktor kata ikut skala doktor😅).
So, buat masa ni doktor nasihatkan aku untuk turunkan paras Kolesterol LDL aku dengan ubah cara pemakanan. Means, kena banyak makan sayur dan kurangkan daging. Kalau naik melebihi paras, barulah doktor bagi ubat kolesterol. Tak mau lah!